Tags

, , , , , ,


Abuya Yang Dirindui,

Sudah hampir 10 bulan Abuya pergi. Apa khabar Abuya? Abuya kini dimana ya? Abuya sedang buat apa agaknya? Hidup di sana tu tak boleh ke dikongsikan dengan kami di sini? Siapa orang-orang yang sedang dengan Abuya sekarang? Mereka itu pula bagaimana agaknya? Abuya ingat lagi tak dengan kami keluarga dan jemaah Abuya? Sebenarnya Abuya ni balik ke tidak lagi ni?

Wahai Abuya,

Kepergianmu ke sana telah membuatkan kami insan-insan yang menyayangimu semuanya ini, ikut ke sana. Tak tahulah apa nama tempat dan alamat Abuya di sana, tapi ingatan, kenangan dan kerinduan hati tertuju kepada Abuya walau dimana Abuya berada.

Kalau dulu, alam disana tidaklah difikirkan sangat walaupun Allah perintahkan supaya kita beriman dengan alam ghaib. Tapi semenjak Abuya berangkat ke sana, alam ghaib sudah menjadi daerah utama yang kami jangkau dengan seluruh ingatan dan fikiran kami untuk mencari Abuya. Dia sudah menjadi kampung idaman hati untuk ikut pergi. Habis masa kami untuk beramal dengan selawat badawi yang Abuya tinggalkan, kerana meminta Allah sampaikan salam rindu kepada Abuya. Sampaikan kami sudah sanggup di tengah-tengah malam bangun untuk menyatakan kepada Allah betapa rindunya hati kepada pemimpin kebenaran yang dijanjikan. Abuya, sungguh kepergianmu tlh menjadi motivasi yang berkesan sekali kepada kami, untuk beriman kepada alam ghaib.

Kepimpinan Abuya, rupanya lebih berkesan bilamana jasad Abuya tiada. Yahudi marah sungguh bila kami katakana Abuya bukannya mati, cuma ghaib. Besar-besaranlah berita itu dijaja untuk tujuan menghancurkan Abuya, adalah kerana kepimpinanmu tuan, lebih menakutkan musuh, walhal dirimu sudah tidak dapat dilihat dengan mata.

Oh memang benar rupanya, apa yang Abuya pernah katakan dulu iaitu orang-orang roh itu kepimpinannya akan lebih terserlah bilamana dia bebas dari jasadnya. Kini Abuya dapat buktikan kepada kami bahawa akal, segeliga manapun ia, tapi tak mampu faham bagaimana roh boleh aktif diluar jasad. Akal bukan saja tak faham bahkan menolaknya. Padahal yang ditolaknya itu ialah realiti hidup untuk orang-orang roh. Manalah dunia tidak huru-hara oleh orang-orang akal ini! Patutnya akal berfikir begini: memandangkan dakwaan-dakwaan yang dibuat oleh orang-orang roh itu adalah merupakan pengalaman hidup ramai dari kalangan mereka, kenalah kita mengkaji akan kemungkinan benarnya, walaupun tidak lojik. Sebab di antara akal dan hati (roh) manusia itu ada perbedaan yang cukup besar. Tidak bolehkah kedua-duanya digabungkan? Jangan-jangan kesempurnaan diri insan ialah dengan menyatukan kedua-duanya? Siapakah yang telah menidakkan hati dalam kajian-kajian tentang kaji hayat dan struktur binaan diri manusia dan kemanusiannya?

Tapi Abuya, ketua agama di Malaysia itu, bila kita kata, kami ada pengalaman bertemu dengan roh Nabi akhir zaman, kami melihat Kaabah itu ada power, dll, dia terus saja cakap: pembohong besar! Dia itu sekolah kat mana Abuya untuk jadi begitu? Kenapa dia tak respon begini ya Abuya? Adapun hal pertemuan hati seseorang dengan roh Nabi junjungan, itu kan berlaku dalam sembahyang-sembahyang kita. Yakni bilamana kita berkata dalam bacaan tahiyat: Assalamu’alaika ayyuhanabi (salam untukmu wahai Nabi). Jadi bila Nabi boleh menjawab salam kita, ertinya, bolehlah berlaku perhubungan hati 2 hala antara kita dan nabi kita, walaupun di luar sembahyang!

MasyaAllah Abuya, akibat tersalah jawab oleh ketua agama di Malaysia, sedangkan perkara itu cukup sensitif untuk umat yang menyayangi Nabi mereka, maka para malaikatpun tak sanggup untuk membiarkannya, maka kena godamlah si dia itu. Teruklah juga rasanya. Sebab malaikat itu guna seorang penulis wanita untuk menyerangnya. Penulis itu Abuya tahu kan Norzah Kepol anak angkat Abuya. Tentu Abuya sudah doakan agar ketua agama itu insaf dan akan betul-betul jadi ketua agama bukan?

Manakala kami anak-anak murid Abuya pula sangat-sangat mengharapkan agar Allah buatkanlah ketua agama itu dan orang-orangnya juga, mahu menerima Abuya sepertilah kami menerimanya. Kenapa mereka marah-marah sangat dengan Abuya? Padahal kami ini sangat syang dengan Abuya! Kenapakah di atas nama agama mereka memusuhi kita untuk beragama? Agaknya pasal Abuya ada cakap nak jadi PM kot? Kan Abuya pesan dengan kami, kalaupun saya mati, tapi daulah Islamiyah tetap jadi di Malaysia oleh Abuya! Nampaknya Abuya yang mulakan peperangan ini, bukan? Dan sekarang walaupun jasad Abuya sudah tiada namun Malaysia nampaknya makin gilakan Abuya. Semua orang ingin melihat bagaimana Abuya mengakhiri peperangan agama yang Abuya cetuskan ini. Dan Abuya juga kena jawab apa niat sebenarnya mengambil resiko dengan menyatakan Abuya bakal PM Malaysia. Adakah kerana gila kuasa atau gilakan Allah dan Rasulnya.

Wahai Abuya,

Sebenarnya Abuya ini mati ke ghaib? Baru-baru ini TV1 Malaysia keluarkan cerita Abuya lagi. Ulangan dokumentari yang telah memenangi 5 pencalonan dokumentari terbaik di Malaysia. Gahnya Abuya jadinya kini! Oleh tayangan itu. Tapi bukannya OK Abuya! Tujuannya tidak lain dan tidak bukan ialah hanya untuk kebumikan Abuya. Yang pelik tu, Abuya kan dah kami kebumikan depan mata mereka bersama pengisytiharan kematian Abuya yang dibuat besar-besaran. Tapi kenapa orang mati sudah masuk 10 bulan, muncul di TV bagaikan belum mati. Hanya kerana kami taksub sangat sampai mengatakan Abuya belum mati? Itu ke masalahnya? Tidaklah! Tak mungkinlah! Orang kampung pun tak percaya. Ye ke bahawa populariti Abuya kini adalah hasil kegilaan Ummu Jah mewar-warkan keghaiban Abuya. Sebenarnya orang lebih mudah faham kalau dikatakan begini: sesungguhnya Abuya Asaari Mohammad itu telah mati! Tapi sesungguhnya pula telah benarlah kata-katanya sebelum mati, bahawa Imam Mahdi itu akan datang untuk Islamkan dunia. Kuasa Barat akan diambil alih oleh Islam. Dengan takdir Allah SWT, nampaknya watak dunia kini memang membenarkan kata-kata Abuya itu.

Maka tidak hairanlah kalau pengikut-pengikut Abuya pun berfikir semula, jangan-jangan betul Ummu cakap Abuya belum mati. Maka dengan kejadian itu bertambah-tambahlah keyakinan mereka untuk terus mempertahankan perjuangan dan jemaah Abuya. Alhasil, jadi takutlah semula TV1 kepada pengaruh Abuya. Hebat Abuya, dah matipun berjuang lagi.

Wahai Abuya pemimpin waktu sihat, waktu sakit dan waktu mati. Sebenarnya kami pengikut-pengikut Abuya sedang merasa bahawa Abuya sentiasa berada di sisi kami, yakni semenjak Abuya xpdc ke alam ghaib. Di sisi itu maknanya cukup dekat di hati, bagaikan di sebelah tapi tak boleh dilihat, tak boleh dipegang dan tak boleh diajak bercakap-cakap. Rasanya ada tapi macam tiada. Rasulullah itu ada dimana-mana dan ada di sisi kita. Allah itu ada dimana-mana tapi tiada di sana! Malaikat itu ada dimana-mana dan ada di samping kita. Manakala hantu dan syaitan pula, selaku makhluk jahat memang ada dimana-mana di sekitar kita. Ertinya alam ghaib itu sebenarnya ujud di sebelah kita. Terpisah hanya oleh tabir lahiriah ciptaan mata dan akal. Orang buta itu tiada padanya tabir lahiriah ini. Orang roh, setiap saat boleh saja berada di balik tabir lahir ini, yakni di alam ghaib, bercinta dengan Allah SWT dan Rasul-Nya.

Rupa-rupanya perginya Abuya ke alam ghaib itu ialah untuk merealisasikan alam ghaib ke dalam kehidupan kami. Biarlah kenyataan ini dikarutkan ya Abuya, tapi bagi kami anak-anak murid Abuya ianya adalah reality kehidupan yang sudah membudaya. Kan Abuya pernah cakap, bagi orang-orang roh, keajaiban adalah budaya hidup mereka.

Ya Abuya, teori itu benar walaupun tidak lojik. Ia kini sudah cukup praktikal bagi kami, dan kami pun bahagia dengannya. Nanti kalau ada orang menidakkannya pun, masakan kebenaran boleh ditutup oleh kebatilan. Sebab hati pembohong-pembohong itu, tahu yang ia berbohong.

Jadi, wahai Abuya, kami sekarang ini, walaupun belumlah sepenuhnya orang roh seperti Abuya, tapi hasil beradanya Abuya di alam ghaib, kami pun rindukan alam ghaib. Alam ghaib itu besar rupanya ya Abuya. Dah lama Allah dan Rasul beritahu perihal besarnya alam ghaib, tapi kami tak kisahkannya pun. Tak bertanya-tanya langsung besarnya bagaimana dibanding dunia?

Hinggalah kini Abuya yang menjawabnya. Mula-mula seelok Abuya tiba ke sana, Abuya serahkan kami kepada Nabi Muhammad.

“Wahai Nabi Muhammad inilah orang-orang yang dapat dikutip di bumi, untuk dijadikan ikhwan”.

Maka Rasulullah pun menjawab sambil menangis,

“Umatku! Umatku! Umatku!”

Rupa-rupanya Abuya, serahan kuasa jemaah kepada Imam Mahdi yang Abuya ceritakan dulu itu, bermulanya dengan begitu caranya. Berlaku di alam roh, secara roh dulu, sebelum dilahirkan ke bumi. Oh sungguh tak sangka Abuya telah hubungkan kami dengan Nabi Akhir Zaman, di alam ghaib. Abuya buatkan kami dapat bercakap-cakap dengan Rasulullah yang sudah wafat. Rasulullah itu hidup di sana, memimpin dan mencatur dunia dari planet roh. Bagaikan mimpi ya Abuya, semua keghaiban itu kini telah menjadi kenyataan. Islam telah buatkan hidup jadi begini. Abuya telah temukan Allah dan Rasul yang kami cari selama ini. Allah Cinta Agung, Rasul Kekasih Junjungan rupanya dapat ditemui dengan hati, hasil menempuh perjalanan roh bersama Abuya ini! Terima kasih Abuya yang tidak terhingga banyaknya. Terimalah cinta dan rindu kami yang berganda-ganda untuk Abuya. Biarlah orang hinakan percintaan ini, sedangkan inilah kebahagiaan kami. Walhal kalau orang tahulah ertinya, nescaya semua orangpun menginginkannya.

Wahai alam ghaib yang dicintai,

Memang kamu layak dan patut dicintai. Tapi mencarimu adalah perjalanan 30 tahun bersama Abuya. Mula-mula dipertemukan dengan Nabi Muhammad oleh Abuya. Nabi SAW lah jembatan penghubung kepada Allah Cinta Agung. Tanpa baginda adakah orang boleh tersambung kepada Allah? Sedangkan untuk sampai kepada rajapun tidaklah mudah. Inikan pula untuk mendapatkan Allah yang pernah dilihat di Sidratul Muntaha oleh Rasulullah SAW melalui perjalanan Isra’ dan Mi’raj yang amat sukar?

Bila Allah ditemui di dalam sembahyang, oleh mukjizat Nabi Muhammad SAW, maka rahsia kewujudan alam ghaib akan dibukakan Allah lah kepada kita. Yakni, alam tinggi yang maha hebat dan indah. Melihatnya pasti akan terjatuh cinta, yang mana sekaligus akan mencabut cinta dunia yang menipu daya ini. Dan bila manusia sudah menjadi begitu, kata baginda Rasul SAW, hidup mereka akan bercahaya secahaya-cahanya. Orang Islam akan menerangi bumi dengan kebenaran yang gilang gemilang. Sejarah Islam menjadi empayar akan berulang. Kenapa tidak? Bukankah bersama kita juga ada Nabi Akhir Zaman? Pasti baginda mengulangkannya kepada kita. Bukankah sekarang pun dunia sudah berada ditangannya semula?

Wahai kematian yang dirindui,

Oleh kerana Rasul ada bersabda:

“Secerdik-cerdik manusia ialah yang paling mengingati kematian”.

Maka bodoh sangatlah kami ini kerana selama ini takut denganmu wahai kematian. Bodoh macam orang yang tak mahu kahwin kerana takut nak bersalin. Sakit katanya. Jadi tak kahwin lah dia. Bodoh tak?

Aduh, kematian yang menjanjikan 1001 keindahan itu ditakuti dan dilupakan saja oleh orang Islam! Bodohnya. Kena tipunya dan ruginya wahai orang Islam. Kenapa dan mengapa sampai terjadi begini agaknya? Kesalnya wahai, tidak terkira-kira lagi rasanya! Kematian sepatutnya ialah hari yang begitu dipersiapkan. Macam orang yang berikan jamu sedari kecil kepada anaknya sebagai persiapan untuk kahwin? Mcm orang yang siapkan computer untuk anaknya yang tak lahir lagi supaya lahir-lahir saja terus pandai main computer. Macam orang yang simpan duit sejak di sekolah lagi agar dapat masukkan anak ke university.

Kematian sesungguhnya kerana pentingnya, ia lebih-lebih lagi patut dipersiapkan sebenarnya. Bukannya macam sekarang, bila mati saja seseorang, maka orang yang hidup pun cakap,

“Dari Allah kita datang, kepada Allah kita kembali. Walaupun dia kesayangan kita, namun nampaknya Allah lebih sayangkannya. Saya redha”

Walhal sepatutnya kata-kata yang dibuat itu begini:

“Ya Allah, macamana ni, dia dah mati. Munkar Nakir akan soal macam-macam. Dia boleh jawab tak? Kalau tidak teruklah dalam kubur. Nanti di Akhirat yang mula-mula Allah tanya tentang sembahyang. Cukup bilangan tak? Khusyuk ke lalai? Kalau lalai dalam sembahyang ke neraka Wail lah tempatnya. Macamana ni? Tolong 3x”.

Sebenarnya persiapan untuk mati yang dirindui itu ialah jadikan hidup untuk Allah dan Rasul. Kan itu yang diazankan kepada kita seelok kita dilahirkan ke bumi? Macamana boleh tersilap? Hidup ialah untuk membalasi cinta Allah dan Rasul yang menghadiahkan kehidupan ini kepada kita?

Cinta Allah dan Rasul terlalu Agung kepada kita. Rasakanlah. Seperti kita sayangkan ibu bapa begitu sekali, macamana boleh terjadi kita tidak menyayangi Allah dan Rasul lebih dari itu? Sepatutnya cinta Agung itu sangat terjadi antara kita dan Allah serta Rasul. Lihat saja Abuya, apakah yang berlaku padanya sehingga dia berupaya wariskan lagu cinta ini kepada kita:

Wahai Tuhan Cinta Agungku, janganlah cintaku tidak dibalas 3x

Kalau cinta itu boleh berlaku kepada Abuya, alasan apa kita nak mengatakan ia tidak boleh berlaku kepada kita?
Sesungguhnya, hanya orang yang mengalami cinta kepada Allah dan Rasul sahaja yang mampu untuk menikmati perasaan rindukan kematiannya. Sebab kematian ialah bertemu dengan seagung-agung cinta!

Abuya, menelusuri perjalanan hidupmu, kami mau dibawa ke sini rupanya. Menjadi orang yang jatuh cinta kepada Allah dan Rasul, lalu Akhirat menjadi kecintaannya, kematiannya sangat diingat bahkan dirinduinya. Sempurnyanya pakej ajaran ini Abuya. Sebab hidup yang sebenar-benarnya itu ialah kematiannya yang indah. Kematian bukan memutuskan seperti kata yahudi itu. Kematian menurut Allah dan Rasul ialah penghubung kepada kehidupan Yang Maha Indah penuh kebahagiaan bersama Allah dan Rasul di dalam Syurga mereka.

Wahai Abuya,

Anak-anak dan cucu-cucu yang begitu ramai Abuya tinggalkan di bumi bersama keluarga yang sangat besar ini, termasuk pengikut-pengikut yang telah menyerahkan hidup kepada Abuya itu, kini bukannya sedang merasa ketiadaan Abuya. Sebenarnya ciptaan yang ajaiblah yang membuatkan jemaah ini, sepeninggalan Abuya telah menjadi lebih kuat dan lebih meriah nampaknya. Padahal akal meramalkan kematian ketua keluarga akan menyiksakan anak cucu yang ramai. Sedangkan Rasul sendiri sewaktu wafat hanya meninggalkan Quran dan Hadis. Sabdanya itu cukup untuk menjamin keselamatan kepada seluruh Akhirat dan dunia. Dan baginda kini dengan berhempas- pulas untuk membuktikan kepada dunia bahawa apa yang dicakapkannya itu benar pasti terjadi.

Sepeninggalan Abuya, sebenarnya kami tak susah pun. Agaknya formula Abuya ialah serahkan anak cucu kepada Allah dan Rasul. Maka hasil dijaga oleh Allah dan Rasul, mereka itu kalau nak minta duit misalnya, panggil Abuya tolong. Bagaikan Abuya itu ada saja di tengah mereka. Nur Muhammad yang mereka dendang-dendangkan itu pun mengirimkan wang lebih dari yang diminta kepada mereka. Baginda umpama datuk yang pantang cucu-cucunya minta apa saja, nescaya diberikanlah sekalipun yang tidak diminta. Abuya, kerana menyaksikan keajaiban ini betul-betul menjadi cara atau budaya hidup kami, sesudah Abuya tinggalkan, ia membuatkan kami ini, tidak lagi bimbang untuk mengenang-ngenangkan kematian. Sebab semua kesayangan yang bakal ditinggalkan itu rupa-rupanya akan mendapat pembelaan yang jauh lebih besar dari yang kami berikan.

Wahai Abuya, bapa kebenaran kepada dunia.

Berjayanya Abuya menyambungkan kami dengan Akhirat. Rasanya tiada sebab lagi untuk bimbangkan kematian berlaku. Dan rasanya Akhirat juga jadi begitu dekat. Sepertilah Mekah Abuya sudah buatkan jadi sebahagian daripada perkampungan kami. Kini Akhirat, kubur, alam yang ghaib itu rasanya sudah ada di depan mata. Ada di sisi untuk dicintai dan dirindui. Kehidupan selepas ini ialah kehidupan sebenar yang tersambung dengan Akhirat. Hidup bercahaya secaha-cahanya. Kegelapan dan tipu daya hilang sama sekali, kematian bukan pemutus tapi penyambung, dan kami Abuya akan usahakan kuburan Islam model atas nama RSA.

Wassalam,

Mekah Al-Mukarramah, 3 Mac 2011

Advertisements